Pages

Topik pilihan/Selected topics

6461 (9) JAKIM (12) daging (16) fatwa (3) kembara (12) koleksi (7) pensijilan (16) renungan (9) seminar (8)
Showing posts with label tokoh. Show all posts
Showing posts with label tokoh. Show all posts

Thursday, June 10, 2010

Jihad kuasai industri halal

2010/03/04

BARU-BARU ini, saya diundang menyampaikan ceramah di Seminar Halalan Toyyiban di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Seminar anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu salah satu pengisian di dalam Kempen 1Malaysia 1Halal bertujuan meningkatkan kesedaran dan keprihatinan pengguna terhadap sijil dan logo halal Malaysia yang dikeluarkan Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri.

Antara lain seminar itu bertujuan menjelaskan prosedur dan keperluan Sijil Halal Malaysia serta memanfaatkan geran dan insentif yang disediakan oleh kerajaan dalam pembangunan industri halal. Ia juga mampu dijadikan platform kepada peserta seminar meneroka peluang bisnes dalam industri halal dengan mewujudkan peluang pasaran dan memberi khidmat nasihat kepada usahawan dalam klinik usahawan untuk menyelesaikan isu berkaitan industri halal.








Saya menyampaikan kertas kerja bertajuk “Bisnes Halal Satu Jihad kerana sedar pentingnya umat Islam sama-sama terbabit dalam bidang ini. Sempena Maulidur Rasul, saya juga menarik perhatian peserta seminar terhadap hakikat betapa bisnes adalah satu sunnah, dengan mengambil contoh Rasulullah sebagai seorang ahli bisnes amanah dan berjaya sebelum menjadi Rasul.

Kegagalan menjadikan bisnes sembilan persepuluh sumber kehidupan menyebabkan umat Islam terus tercicir. Demikian juga kegagalan menghayati dan merealisasikan seruan Islam agar menjadi umat ‘alyadul ulya’ iaitu ‘tangan di atas’ atau ‘tangan memberi’ yang lebih mulia kedudukannya daripada ‘tangan di bawah’ dan ‘tangan yang meminta-minta’. Bisnes halal cukup luas pengertiannya dalam konteks kehidupan hari ini. Pengarang The Halal Journal, Kamarul Aznam Kamaruzaman mentakrifkan logo halal sebagai ‘bukan setakat menjamin produk tidak mengandungi apa yang telah Allah haramkan, ia mesti menjadi tanda bukti produk berkenaan dikeluar oleh syarikat yang berbisnes mengikut cara yang penuh etika dan berakhlak.’ Di situ jelas menunjukkan makanan halal tidak lagi hanya terhad kepada aspek penyembelihan dan isu bersandarkan ramuan serta kandungan yang dicampurkan dalam makanan. Ia merangkumi aspek lain yang terbabit dalam faktor pengeluaran makanan itu. Saya mengambil ayam goreng sebagai contoh. Selama ini kita hanya menitik beratkan isu sama ada ayam disembelih dan bagaimana ia disembelih. Namun, kita terlupa dengan aspek lain seperti dari mana ayam itu datang, bagaimana ia dibela, makanan apa yang diberikan, lori untuk mengangkutnya dari ladang (apakah pernah digunakan untuk membawa khinzir), bekas dan minyak untuk menggorengnya dan kebersihan pengendalinya.

Aspek ini andai dikupas memakan masa panjang namun, ia menjadi tanggungjawab kita untuk memastikannya makanan halal yang dimakan akan memberikan kesan kepada kebersihan rohani dan jasmani kita, menjadi darah daging kita dan anak cucu kita.

Peningkatan sensitiviti masyarakat terhadap aspek halal juga membuatkan pengusaha dan pengeluar berlumba-lumba memastikan produk masing-masing terjamin kualitinya, halal dan terus diterima pengguna. Sebenarnya, isu halal membabitkan banyak aspek lain lebih meluas.

Untuk menuju ke arah itu, kumpulan syarikat JCorp telah memperjuangkan Jihad Bisnes yang kini dijadikan gagasan perjuangan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) dan menjadi salah satu resolusi di Kongres Ekonomi Islam Ke-3 pada 2009. Paling penting ialah anjuran supaya semua ahli bisnes dan korporat Muslim menjadikan usaha bisnes sebagai perjuangan memartabatkan Islam dan umatnya.

Saya juga mengingatkan masyarakat selaku pengguna boleh memainkan peranan menjayakan perjuangan Jihad Bisnes ini. Sebagai pengguna, kita berkuasa menggunakan setiap ringgit yang dibelanjakan setiap hari umpama undi dalam menentukan kuasa politik.

Telah tiba masanya masyarakat mengambil berat penggunaan kuasa ekonomi yang ada di tangan mereka untuk memartabatkan halal, menegakkan syariat Islam, amar makruf dan nahi mungkar menerusi Jihad Bisnes. Salah satu faktor menyumbang kepada masalah dihadapi umat Islam dalam isu halal ialah kerana kita terlalu bergantung kepada penguatkuasaan pihak berkuasa tanpa mengambil inisiatif tambahan memastikan syarat pensijilan halal dipatuhi di semua peringkat operasi secara konsisten. Ini jika tidak ditangani segera akan menjejaskan reputasi dan integriti Sijil Halal Malaysia dan kewibawaan Malaysia sebagai peneraju industri halal global.

Kerana itu, kumpulan JCorp menubuhkan Jabatan Syariah dan Pematuhan Halal pada 2007 di syarikat kumpulannya yang terbabit dalam industri makanan iaitu KFC Holdings (Malaysia) Bhd meliputi bisnes restoran makanan segera KFC dan Pizza Hut di Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam dan Kemboja. Langkah ini diambil untuk memastikan integriti halal semua produknya dapat dipertahankan dan tidak diragui.

Tugas dan tanggungjawab utama jabatan berkenaan adalah untuk memantau dan mengaudit bagi menentukan semua bahan, sistem pemprosesan dan pengeluaran produk makanan ini mematuhi syarat halal dan aspek pematuhan syariah sebagaimana ditetapkan tanpa menunggu pemeriksaan pihak berkuasa.

Jabatan ini mempunyai pekerja terlatih dalam sistem pengauditan halal. Malah, dipercayai KFC Holdings (Malaysia) Bhd adalah syarikat pertama yang menubuhkan jabatan seumpama ini sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna kepada produknya termasuk Pizza Hut, Rasamas dan Ayamas di negara ini.

KFC Holdings (Malaysia) Bhd juga melantik kalangan profesional dan cendekiawan agama termasuk beberapa orang bekas mufti dalam Majlis Penasihat Syariahnya. Fungsi Majlis Penasihat Syariah ini ialah sebagai penasihat kepada pengurusan demi memastikan operasi yang dijalankannya sentiasa memenuhi keperluan syarak.

Perjuangan jihad bisnes juga tidak akan sempurna selagi ia tidak dijadikan teras perjuangan untuk menjayakan cita-cita memperkasa ekonomi umat sehingga menjadi ‘khaira ummah’ atau umat terbaik dan khalifah dalam bidang ekonomi. Status khaira ummah dan khalifah ekonomi juga tidak akan tercapai selagi umat Islam berlarutan gagal dalam usaha merebut peluang memanfaatkan halal yang harus dimulakan dalam industri makanan yang malangnya kini terus didominasi dan dikuasai bukan Muslim.Kini lebih 80 peratus makanan halal yang diguna oleh umat Islam dibekalkan oleh bukan Islam. Syarikat gergasi korporat antarabangsa atau Multinational Corporation (MNC) adalah pemain utama dan sumber pergantungan kita untuk sebahagian besar makanan halal. Dengan demikian, umat Islam Malaysia perlu merancang strategi bisnes jangka panjang untuk mengatasi cabaran ini. Saya menganjurkan supaya disusun strategi yang menggabung tenaga, kerjasama dan persepakatan antara perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bersama korporat Muslim dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk menjayakan rancangan ini. Ia boleh dimulakan dengan langkah korporat Muslim serta GLC mendampingi PKS Muslim untuk menjayakan program membina usahawan PKS berjaya sehingga ke peringkat lebih tinggi. Semua ini boleh dilakukan menerusi kaedah pasaran dan bisnes tanpa membebankan kerajaan dan menggunakan sumber cukai.

Justeru, sudah sampai masanya untuk kita bangkit berjihad demi menghalalkan sistem ekonomi daripada terus didominasi golongan yang menolak konsep halal haram dan dosa pahala. Walaupun saya percaya bahawa penguatkuasaan piawaian halal begitu penting bagi menjamin produk yang dimakan halalan toyyiban (halal lagi baik), kita tidak harus hanya bergantung semata-mata kepada agensi terbabit untuk menguatkuasakan piawaian ini. Salah satu langkah yang perlu diambil ialah menggalakkan semua syarikat besar makanan mengambil inisiatif menubuhkan Jabatan Syariah dan Pematuhan Halal sendiri di syarikat masing-masing bagi memastikan setiap operasi yang dijalankan selari dengan nilai Islam dan berlandaskan hukum syarak.

Penulis ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM). Layari http://www.businessjihad.com/

Sumber : http://www.hmetro.com.my/articles/Jihadkuasaiindustrihalal/Article/

Tuesday, July 21, 2009

Rebut peluang status hab halal

KEDUDUKAN Malaysia sebagai negara Islam perlu dimanfaatkan secara berkesan untuk melonjakkan negara menjadi hab halal yang bukan saja mengeluar, malah mempromosi dan mengedarkan produk halal untuk pasaran global.


Naib Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Tan Sri Muhammad Ali Hashim, berkata negara yang sudah lama terkenal di kalangan dunia Islam sepatutnya selangkah ke depan untuk menjadi hab halal, berbanding negara lain apatah lagi negara penduduk Islamnya sedikit.



Beliau yang juga Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) berkata, komitmen kerajaan terhadap industri halal melalui pelaksanaan dasar bersesuaian dan kewujudan komuniti peniaga Islam menyebabkan negara berada di landasan tepat untuk mencapai status itu.


Bagaimanapun, kelebihan itu tidak berguna jika umat Islam tidak merebut peluang untuk turut meraih keuntungan status hab halal. “Hab halal tidak sepatutnya disempitkan kepada industri pengeluaran serta pemprosesan makanan saja kerana ia juga meliputi sektor perkhidmatan seperti perbankan dan insurans,” katanya ketika membentangkan kertas kerja pada Seminar Makanan Halal 2009 (Hafos 2009) di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini. Seminar anjuran Usim dengan kerjasama DPIM itu disertai 300 peserta yang terbabit dalam industri halal, ilmuwan dan mahasiswa. Sebanyak 15 kertas kerja dibentangkan pada seminar tiga hari itu.


Seminar bertujuan memberi peluang kepada peserta memahami dan mengetahui perkembangan terkini industri, aspek kepenggunaan serta penghasilan produk halal.


Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma'amor Osman yang turut membentangkan kertas kerja berkata, pasaran produk halal sangat besar dan mempunyai permintaan tinggi, termasuk di negara bukan Islam.


Katanya, produk halal bukan saja menepati syariat, malah memenuhi piawaian antarabangsa dari segi kebersihan dan keselamatan makanan. Sehubungan itu, katanya, pengeluar makanan halal perlu memastikan bukan hanya proses pengeluaran, malah bahan mentah yang digunakan adalah halal.


“Pengguna kini lebih bijak dan mahu produk yang bukan saja bersih dan selamat, malah halal.


“Pengeluar perlu mewujudkan keyakinan pengguna terhadap status halal produk,” katanya.


Naib Canselor Usim, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin pula berkata, Hafos yang dianjurkan Usim, universiti sains berteraskan Islam buat kali ketiga bertujuan memperjelaskan pengertian halal kepada masyarakat.


Katanya, isu halal menimbulkan dilema kerana walaupun pelbagai produk makanan di pasaran, tidak semua barang halal.


Kekeliruan timbul dari segi status halal produk. Walaupun ada label kandungan produk, tiada siapa tahu sama ada maklumat itu benar atau tidak


“Kita bimbang ada pihak cuba ambil kesempatan mengaut keuntungan menipu label halal tanpa memikirkan kesannya kepada umat Islam. Oleh itu, kaedah saintifik perlu digunakan secara meluas,” katanya.


Mahasiswi Usim, Norazila Anuar, 20, berkata banyak ilmu pengetahuan yang diperoleh menerusi seminar itu terutama dari segi kefahaman terhadap produk halal, sama ada dalam bentuk makanan atau perkhidmatan.


Katanya, produk halal penting kerana dalam Islam, setiap aspek termasuk makanan perlu memenuhi tuntutan syariat, bukan sekadar bersih dan selamat.


“Umat Islam tidak boleh memandang mudah status halal makanan dan perlu memahaminya dengan tepat dan menyeluruh,” katanya. Sementara itu, Noor Nariha Rahman, 19, berkata seminar ini memberinya peluang berkongsi pengetahuan dengan rakan lain untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.


Penganjuran seminar dapat mendekatkan orang ramai, terutama mahasiswa dengan produk halal, sekali gus menyokong industri halal yang sepatutnya menjadi pilihan umat Islam.


“Banyak produk halal di pasaran tetapi tidak semua umat Islam memilihnya kerana dipengaruhi iklan dan promosi apabila membeli barang,” katanya.


(Oleh Mohd Amin Jalil - rencanabh@bharian.com.my) : 15-16 July 2009



Info HaFoS

Halal Food Seminar (HaFoS) is a seminar that leads towards Halal understanding as well as to provide a platform of knowledge development in Halal Food Production & Development. Current issues of the Muslim Ummah towards Halalan Toiyyiban (Halal and wholesomeness) will also be covered.

HaFoS 2006 with the theme “The Role of Technical Analysis and Scientific in The Aspect of Halal Food” is the first HaFoS conducted by the first batch of Food Biotechnology, Faculty of Science and Technology students. It is followed with the second HaFoS in 2008 which brought “Halal Food from the Perspective of Islam and Science” as the theme, organized by the second batch students of Food Biotechnology.

Now, the third HaFoS, HaFoS 2009 came with the objectives to increase people’s understanding on Halal food regarding to Islamic and scientific perspectives as well as to discuss the roles of various institutions in Malaysia to manage Halal issues in society.


“Malaysia as a Halal Food Hub: Are We on Track?”, the theme for this year seminar is purposely to highlight the potential of worldwide Halal industry in order to strengthen the global economic condition in parallel with the government’s aims for Malaysia to become a Halal food hub.






Sunday, May 25, 2008

temubual bersama Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) Universiti Putra Malaysia (UPM)

BAB halal-haram sentiasa menjadi topik perbincangan umat Islam terutama produk industri makanan kerana ia akan menjadi darah daging manusia. Berikut adalah hasil temubual wartawan UTUSAN MALAYSIA, MOHD. RADZIMOHD. ZIN dan jurufoto, BAIZURA HARUN bersama Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr.Yaakob Che Man pada 6 Mac 2007 bagi mengulas mengenai kedudukan industri halal negara.

*UTUSAN MALAYSIA: Apakah status industri makanan halal negara?*
*PROF. DR. YAAKOB:* Salah satu objektif Pelan Induk Pembangunan Ketiga(IMP3) 2006-2020 adalah menjadikan Malaysia sebagai hab halal global bagi pengeluaran dan perdagangan barangan dan perkhidmatan halal. Malaysia mempunyai kelebihan dalam pembangunan industri halal kerana kita adalah negara Islam moden yang mengamalkan sistem ekonomi terbuka. Selain itu, negara mempunyai infrastruktur fizikal dan institusi yang berupaya menyokong inisiatif dan program bagi membangun serta mempromosi industri ini. Masyarakat Islam sering keliru kerana ramai yang beranggapan produk halal ini hanya makanan sahaja. Sebaliknya, industri ini termasuk sektor perkhidmatan seperti logistik, pembungkusan, penjenamaan dan pasaran. Ia juga meliputi produk farmaseutikal, dandanan diri dan kosmetik, kewangan dan sebagainya. Pada tahun 2005, saiz pasaran dianggarkan berjumlah RM1,371.6 per kapita untuk perbelanjaan makanan halal bagi 26.1 juta rakyat Malaysia dengan saiz pasaran sebanyak RM21.2 trilion. Industri ini melibatkan operasi 'ladang ke meja'. Ini mewujudkan hubungan baru dalam rantaian nilai terutama logistik, pelabuhan, perkapalan, penghantaran, kemudahan pengendalian dan gudang. Semua ini kini muncul sebagai bidang yang menguntungkan dalam pasaran halal global.

Bagaimanakah keupayaan negara dalam mengeluarkan sijil halal kepada bahan-bahan pemprosesan bagi tujuan komersial?
Pelbagai negara pengeluar dan pengeksport makanan utama sedang mengambil inisiatif mendapat keuntungan daripada potensi pertumbuhan pasaran global terhadap produk dan perkhidmatan halal. Mereka tidak hanya menumpukan kepada pengeluaran produk dan perkhidmatan halal tetapi juga persijilan halal. Malaysia adalah negara yang membangunkan sistem persijilan yang kukuhberasaskan standard MS1500:2004. Ia dibangunkan oleh Jabatan StandardMalaysia dan diwartakan pada Julai 2004. Ia diiktiraf oleh banyak negara termasuk negara di bawah Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC). Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri bermuafakat mengeluarkan sijil halal kepada perniagaan yang mematuhi standard tersebut. Prosedur Jakim ini adalah sistem yang mantap dan memenuhi semua aspek pengeluaran makanan dan sejajar dengan standard lain yang dibangunkan oleh negara luar.

Adakah perlu negara mempunyai pusat khas atau badan yang mengesahkan status halal sesuatu produk?
Setiap negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam wajib mempunyai pusat dan badan khas bagi mengesah dan memantau pengeluaran dan pemasaran produk halal. Ini bagi mengelakkan sebarang anasir yang mencemar kandungan produk tersebut terutama dari segi perlabelan dan nutrisinya. Kita sewajarnya menjadikan ayat 168 surah Al-Baqarah sebagai pemangkin untuk menghasilkan produk halal lagi baik. Rasulullah s.a.w juga bersabda, "Setiap jasad yang membesar daripada benda-benda yang haram maka api nerakalah yang layak baginya." (riwayat al-Baihaqi dan Abu Nuim). Selain itu, pusat sebegini boleh dijadikan tempat rujukan kepada syarikat bagi mengesahkan kandungan sesuatu produk sebelum boleh dipasarkan.

Adakah negara sudah cukup persediaan dari segi kepakaran tenaga dan kelengkapan untuk pengesahan status halal ini?
Negara masih kekurangan dari segi sumber manusia, teknologi dan kewangan dalam bab ini. Oleh itu, IPPH berperanan menyelidik dan membangunkan teknik supaya lebih berkesan untuk mengesan kehadiran komponen haram seperti lemak dan daging khinzir dalam makanan. Beberapa teknik telah dibangunkan dan antara kaedah yang sedang dibangunkan ialah kaedah instrumentasi, kaedah pengesanan berasakan DNA dan kaedah kromatografi. Proses menaiktaraf dan peningkatan perlu bagi mewujudkan makmal yang mempunyai akreditasi pengesahan halal di seluruh negara. Dalam masa yang sama, kita perlu menjalin kerjasama dengan badan berkaitan untuk mencari pendekatan yang lebih praktikal, tepat, cepat dan mengikut peredaran masa. Sebab itu, adalah penting para ulama fikah dan ahli sains duduk semeja bagi mencari titik pertemuan dalam agama dan sains untuk produk halal ini. Kalau kita rujuk semula kepada halalan thoiyiban (halal lagi baik), halalan itu adalah merujuk kepada aspek agama contohnya dari segi penyembelihan dan penyediaan. Thoiyiban ini pula melibatkan ilmu sains seperti makanan itu tidak mengandungi bahan merbahaya seperti asid borik atau ganja dan lain-lain. Ini juga penting dalam usaha mengembalikan kegemilangan Islam terutama di kalangan para saintis. Setakat ini, kita telah membangunkan beberapa kaedah saintifik pengesahan produk halal.Makan dan minum yang halal adalah isu utama bagi orang Islam.

Sejauh mana ketepatan pemeriksaan status halal yang diguna pakai setakat ini?
Prosedur pemeriksaan status halal Jakim adalah mantap. Walaupun terdapat pelbagai tuduhan yang kurang manis dilemparkan kepada Jakim, sebagai orang yang terlibat secara langsung dalam bab ini, saya mempertahankan Jakim. Malah, mereka telah melakukan yang terbaik selama ini. Yang menjadi kelewatan dalam mengesahkan produk halal ialah ketiadaan kepakaran dan makmal oleh Jakim. Ini menyebabkan mereka bergantung kepada pihak lain seperti Jabatan Kimia untuk mendapatkan keputusan analisis. Bagaimanapun, Jakim dan badan berkaitan kini dalam proses penambahbaikan dan memantapkan lagi dari segi input dan analisis. Jakim dan Jabatan Standard Malaysia juga dijangka akan mengumumkan standard halal yang baru berkaitandengan produk dandanan diri dan kosmetik halal sedikit masa lagi. IPPH membantu dengan membangunkan beberapa teknik pengesanan menggunakan Spektroskopi Penukaran Fourier Inframerah, Hidung Elektronik, KalorimeterImbasan Pembe zahan dan teknik biologi molekul iaitu Tindakan BerantaiPolimerase (PCR) dan Enzyme Linked Immunorsorbant Assay (ELISA).

Sejauh mana hendak memahamkan pengusaha bukan Islam dalam aspek kandungan dan pengendalian halal. Ini kerana fahaman mereka halal cuma tidak mengandungi arak dan khinzir?
Tanggapan tersebut memang betul. Itulah yang selalunya berlaku apabila kami mengadakan perbincangan dengan orang bukan Islam. Malah di kalangan orangIslam pun ada yang tidak memahami bab ini dengan baik. Masalahnya, hampir 90 peratus pengeluar makanan negara adalah bukan Islam. Pendek kata, kesedaran tentang kandungan dan pengendalian makanan halal oleh golongan ini masih belum menyeluruh. Contohnya, bukan Islam menganggap makanan halal adalah selain khinzir sedangkan terdapat banyak isu seperti ekstrak dari haiwan itu digunakan dalam industri makanan seperti gelatin, enzim untuk menghasilkan keju dan minyak dalam coklat. Bagi masyarakat Islam pula, alkohol semuanya haram. Walhal bukan semua alkohol haram. Yang memabukkan sahaja adalah haram. Tapai yang kita makan itu pun ada 8 peratus alkohol tetapi ia bukan haram. Kita akan mempunyai peralatan untuk menganalisis alkohol dan kajian terperinci akan dibuat untuk menangani permasalahan ini. Sebab itu adalah penting untuk ulama terutama yang mengeluarkan fatwa dan ahli sains sama-sama berbincang agar seia sekata dalam hal ini. Lagi pun banyak perkara sains disebut dalam al-Quran.

sumber : http://www.mail archive.com/harakahdaily@yahoogroups.com/msg07430.html

kit pengesan daging babi (dalam makanan)