"Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dari masa ke semasa meningkatkan keberkesanan pemantauan logo Halal agar tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak.
Bagi jangka pendek JAKIM sedang meningkatkan ciri-ciri keselamatan bagi logo Halal seperti menggunakan bar code yang membolehkan orang ramai membuat aduan dan mengesan penyalahgunaan logo Halal tersebut melalui sistem SMS. Sistem pengesanan atau pemantauan melalui bar code ini akan disiapkan pada penghujung tahun ini. Di samping itu juga, JAKIM sedang berusaha untuk menambah pegawai secukupnya bagi tujuan pemantauan.
Bagi jangka panjang JAKIM sedang menetapkan memantapkan:
(i) Portal Halal ialah satu laman web JAKIM yang memaparkan maklumat-maklumat mengenai halal seperti permohonan persijilan halal, aduan halal dan direktori halal bagi memudahkan orang ramai mengetahui senarai syarikat-syarikat yang mempunyai sijil pengesahan halal yang sah;
(ii) Portal Halal JAKIM mempunyai rangkaian dengan agensi-agensi yang berkaitan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan sebagainya;
(iii) Sistem E-Halal iaitu sistem permohonan persijilan halal secara online oleh syarikat-syarikat yang ingin memohon bagi kategori produk ataupun barangan gunaan, premis makanan atau rumah sembelihan. "
(Jawapan lisan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Prof. Dato' Dr. Abdullah bin Md. Zin apabila diajukan pertanyaan oleh Dr. Junaidy bin Abdul Wahab, ahli parlimen Batu Pahat bagi menyatakan langkah-langkah jangka pendek dan jangka panjang yang sedang dan akan dilaksanakan di dalam memastikan penyelewengan logo atau tanda halal tidak berulang, Dewan Rakyat, Parlimen ke-11, Penggal ke-2, Mesyuarat ke-2, Bil. 35, pada hari Isnin, 11 Julai 2005)
No comments:
Post a Comment