Pages

Topik pilihan/Selected topics

6461 (9) JAKIM (12) daging (16) fatwa (3) kembara (12) koleksi (7) pensijilan (16) renungan (9) seminar (8)

Tuesday, June 14, 2011

DNA 6461 dalam makanan : Masih ada Sinarnya

Kesedaran terhadap peri penting mengambil berat aspek makanan dan pemakanan Halal semakin meningkat terutama dalam zaman milenium baru yang serba canggih ini. Sekiranya dahulu isu-isu Halal-Haram hanya berlegar di sekitar sama ada makanan tersebut bercampur dengan daging Babi sahaja atau diproses oleh orang bukan Islam, namun kini persoalan Halal-Haram bukan sahaja berkait bahan hasilan Babi yang dicampur dalam makanan, bahkan sehingga kepada isu-isu yang berkaitan DNA Babi yang dijumpai dalam makanan. Sedikit info berkaitan berkenaan DNA boleh dirujuk di sini. Lebih-lebih lagi makanan tersebut telah disahkan Halal oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebelum ini.

Secara ringkasnya, pihak JAKIM terlibat dalam memberi pengesahan status halal kepada produk makanan dan barangan gunaan Islam d negara ini bermula pada tahun 1974 apabila Pusat Penyelidikan, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri memberi surat pengesahan halal kepada produk-produk yang memenuhi kehendak syarak. Penggunaan sijil pengesahan beserta logo halal bagi pengesahan halal bermula pada tahun 1994 dan pada 30September 1998, pihak kerajaan telah melantik Syarikat Ilham Daya untuk melaksanakan pemeriksaan halal. Walau bagaimanapun, pada 1 September 2002, kerajaan telah memutuskan bahawa semua urusan pengesahan halal dilaksanakan sepenuhnya oleh JAKIM melalui Bahagian Kajian Makanan dan Barangan Gunaan Islam yang mempunyai hanya 28 jawatan.

Dengan perkembangan pesat industri makanan di negara ini dan keperluan semasa umat Islam, maka pada 17 November 2005 Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia telah meluluskan sebanyak 165 perjawatan pelbagai skim dan gred dengan nama baru Bahagian Hub Halal. Pada 2 April 2008, pengurusan pensijilan halal diambil alih oleh Halal Industry Development Corporation (HDC)(Rujuk di sini untuk info ringkas). Walau bagaimanapun mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Julai 2009 telah memutuskan pengurusan pensijilan Halal Malaysia dalam dan luar negara dikembalikan kepada JAKIM (Rujuk di sini untuk info ringkas).

Berbalik kepada persoalan DNA babi,apabila masyarakat didedahkan satu demi satu berita penemuan DNA babi dalam makanan, sudah pasti ia mendatangkan kegusaran dan kebimbangan kepada mereka dalam memilih makanan yang benar-benar bebas dari unsur-unsur yang mendatangkan syubhah dan seterusnya mengelakkan terjebak daripada memakan makanan yang dikotori unsur-unsur najis mughallazah ini. Atas kesedaran untuk sedikit sebanyak membantu masyarakat awam, beberapa inisitif telah diambil oleh pihak institusi pengajuan tinggi tempatan dan swasta menghasilkan peralatan, kit atau bahan bantuan ringkas yang mana pantas mendapatkan keputusan, mudah dibawa ke mana-mana dan tidak memerlukan masa yang lama untuk menyediakannya.

Antara perlatan atau kit yang telah dihasilkan termasuklah HaFSY (Halal Verification System) atau sistem pengesahan halal yang dibangunkan Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) Universiti Putra Malaysia (UPM). Alat ini berfungsi sebagai pengesan produk halal atau haram melalui pengesanan dan pengesahan Deoxyribonucleic Acid (DNA) yang dikhaskan bagi menentukan sesuatu produk mengandungi DNA babi atau tidak. Berbanding kaedah kajian sebelum ini, sampel produk perlu dibawa ke makmal untuk dikaji dan keputusan paling cepat akan diperoleh selepas dua hari. Namun, dengan penggunaan HaFSY, keputusan cuma diperoleh dalam masa satu jam untuk menentukan produk mengandungi DNA babi atau tidak. Ia bermaksud pengguna boleh mengenal pasti atau mengesan kehadiran DNA babi dengan satu langkah penyediaan saja, menekan butang pada mesin Polymerase Chain Reaction (PCR) atau Ujian Tindakan Rantai Polimeris dan keputusan sama ada positif atau tidak boleh diperoleh dalam masa satu jam, bersesuaian dengan moto produk HaFYS iaitu ‘one step, one button, one hour’ (satu langkah, satu butang, satu jam).

Alatan ini telah direka dengan rekaan bentuk primer dan ‘probe’ (alat siasatan) sepadan dengan jujukan DNA babi. Seterusnya analisis lanjut PCR dijalankan bagi menentukan sama ada wujud DNA babi dalam sesuatu produk halal di mana hanya ada dua keputusan tepat iaitu positif atau negatif. Malah, HaFYS juga direka untuk mengesan unsur DNA babi dalam kajian terhadap pakaian, barangan kosmetik. Apa saja yang mempunyai unsur DNA babi walaupun dalam jumlah yang terlalu kecil, boleh dikesan menggunakan alat berkenaan. Setakat ini, IPPH hanya memfokuskan kepada alat pengesanan kehadiran unsur DNA babi dan kini membangunkan kaedah sama mengesan kehadiran unsur alkohol. Meskipun banyak pihak dikatakan mempunyai alatan PCR dalam menjalankan kajian makmal, namun produk HaFYS diakui satu-satunya produk di dunia yang lebih terperinci dan dikhaskan kepada mengesan DNA babi.

Kaedah penggunaan HaFSY dilihat menepati cita rasa masyarakat kerana pengguna hanya perlu memasukkan sampel kecil produk ke dalam tabung kecil sebesar batang pen sebelum meletakkannya ke dalam pemegang khas. Sampel itu akan dimasukkan ke dalam tabung kecil yang mengandungi semua bahan kajian dan ia akan mengesan sebarang unsur DNA babi. Produk HaFYS akan dapat mengesan dengan tepat jika terdapat anggaran unsur DNA babi dalam sebarang produk dengan catatan bacaan 0.001 peratus ataupun satu auns (0.04 gram) bagi setiap satu kilogram. Mesin HaFYS yang seberat 4 kilogram ini bernilai RM50,000 di mana setiap satu cartridge bernilai RM200.

Kaedah lain yang digunakan untuk mengesan unsur-unsur yang haram ini termasuklah Protein (ELISA), Lemak (Kromatografi, FTIR), Electric Nose dan Alkohol (GC).

Selain itu, pihak Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Institut Penyelidikan dan Pengurusan Halal (Ihram) juga telah mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan Porcine Rapid Test Kit atau Kit Ujian Khinzir melalui kerjasama dengan pihak Envo Green Sdn. Bhd. Kit Ujian khinzir direka untuk mengesan kewujudan atau kehadiran khinzir dalam masa yang singkat. Kit ini mudah digunakan dan tidak memerlukan kemahiran tertentu untuk mengendalikannya. Kaedahnya ialah dengan hanya mencampurkan sedikit air dengan produk yang hendak diuji. Kemudian masukkan Kit Ujian Khinzir ke dalam campuran berkenaan dan tunggu seketika untuk mendapat keputusannya.

Malah, tidak kurang juga usaha yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga telah berjaya menemui kaedah mudah, murah dan cepat bagi membezakan antara daging ayam dengan daging babi dengan menggunakan alat 'spectrophometer' dan sejenis campuran gula dinamakan 'ribose'. Melalui penggunaan perlatan tersebut, daging kedua-dua haiwan itu akan bertukar kepada warna tertentu apabila bertindak balas dengan bahan tersebut. Proses ujian tersebut amat mudah dan boleh dilakukan di rumah jika mempunyai peralatan yang mencukupi kerana seseorang hanya perlu mengambil secebis daging dan mencampurkannya dengan gula berkenaan untuk diuji. Kemudian, campuran ini akan dipanaskan dalam suhu tertentu untuk menukarkan warnanya. Dengan menggunakan alat 'spectrophometer', julat warna yang dihasilkan akan menentukan sama ada ia daging ayam atau daging babi. Melalui ujian yang memakan masa kurang daripada dua jam itu, warna daging ayam akan bertukar gelap sedikit berbanding daging babi. Kos spectrophometer ini hanya serendah RM10,000 manakala kos gula ribose ini adalah RM15 bagi empat gram berbanding peralatan sofistikated lain di pasaran yang boleh membuat uji kaji yang sama tetapi harganya tinggi hingga mencecah RM300,000.

Dengan sedikit contoh usaha dan inisiatif yang telah dihasilkan oleh kumpulan penyelidik tempatan, sekurang-kurangnya masyarakat mampu sedikit menafik nafas lega.Malah, makmal-makmal penyelidikan bagi menjalankan kajian serta analisis terperinci secara saintifik terhadap produk yang ingin mendapatkan status ke'halal'annya giat dibangunkan dewasa ini termasuklah Makmal Institut Halal Malaysia yang pertama seumpamanya di negara ini yang dibangunkan oleh JAKIM dengan kos pembinaan RM27.3 juta di Bandar Enstek, Nilai yang dijangka akan beroperasi pada seawal tahun 2013 dan Makmal Analisis Halal yang dibangunkan oleh Technology Park Malaysia melalui anak syarikatnya, TPMB sejak awal tahun 2010 yang menawarkan perkhidmatan analisis halal merangkumi pengesanan jujukan DNA khinzir melalui kaedah biologi molekul, serta pengesanan dan penentuan kandungan logam berat, alkohol dan mikroorganisme dari sampel produk melalui kaedah GC-MS, ICP-MS dan bakteria identifikasi.

Namun, sejauh mana penyelidikan ini dan pembangunan dapat dimanfaat oleh majoriti masyarakat masih menjadi cabaran dalam perkembangan industri Halal. Penyelidikan demi penyelidikan masih perlu dilakukan selain usaha pengkomersilan peralatan yang pengesanan yang dihasilkan secara lebih meluas agar masyarakat umum dapat benar-benar mendapat manfaat daripada uasaha dan inisiatif ini . Mungkinkah pada masa itu, masyarakat mampu memiliki peralatan tersebut dan membuat ujian pengesahan semudah kertas litmus atau test-pen sahaja.




Maklumat tambahan juga boleh didapati di :
1. http://www.halal.upm.edu.my/index.php?option=com_content&view=article&id=149
2. http://pragmatisusim.blogspot.com/2010/06/usim-envo-green-hasil-kit-kesan-khinzir.html
3. http://unmsia.com/the-new-definitions-of-halal/
4.http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0616&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kampus&pg=ka_01.htm
5. http://www.faqs.org/patents/app/20100216136
6. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Jaminanhalal/Article/index_html
7. http://www.halaljournal.com/article/4509/boost-for-halal-industry

No comments:

kit pengesan daging babi (dalam makanan)