
PENDAHULUAN
Tanggal 3 Mac 2009, satu forum umum semakan kedua MS1500 telah diadakan di Dewan Bunga Tanjung, Kelab Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Forum ini adalah anjuran bersama Kementerian Sains dan Teknologi (MOSTI) dan Jabatan Standard Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. SIRIM pula bertindak selaku pengurus forum tersebut. Semakan Kedua Standard ini sebenarnya telah dibuka untuk Public Comment sejak dari 1 Februari 2009 sehingga 31 Mac 2009.
MS 1500
Bagi mereka yang belum tahu apa itu MS 1500, boleh singgah di sini sebentar untuk mendapatkan serba ringkas maklumat :
http://i-genhalal.blogspot.com/2008/05/standard-malaysia-bekenaan-makanan.htmlMS1500:2009Semakan kedua Standard Malaysia ini telah dibangunkan oleh Jawatankuasa Teknikal bagi Makanan Halal dan Barang Gunaan Islam dan ianya di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Standard Perindustrian Standard Halal. Dengan terbitnya Semakan Kedua Standard Malaysia ini, maka secara automatic ianya akan membatal dan menggantikan MS 1500:2004 yang digunapakai dan menjadi rujukan majoriti pengusaha makanan Halal bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia.
Mengikut draf Malaysia standard yang telah dikeluarkan, beberapa perubahan telah dilakukan terhadap standard sebelum ini setelah disemak semula dan perubahan utama di dalam semakan ini adalah seperti berikut:
a) dua (2) definasi hukum syarak, dari sudut agama dan perundangan negara;
b) penambahan klausa-klausa dan sub-klausa berikut:
i. tanggungjawab pengurusan;
ii. premis;
iv. pembungkusan, perlabelan dan pengiklanan; dan
v. kaedah pneumatic stunning serta gambarajah tempat meletakkan pneumatic stunner pada haiwan.
c) pemansuhan kaedah penyembelihan dengan menggunakan pisau mekanikal; dan
d) secara keseluruhan, pengubahsuaian dan penambahbaikan pelbagai klausa –klausa untuk penerangan dan pemahaman yang lebih jelas;
Versi bahasa Malaysia ini adalah terjemahan daripada versi asal di dalam bahasa Inggeris iaitu MS 1500, Halal food - Production, preparation, handling and storage – General guidelines. Jika terdapat sebarang pertikaian semasa penggunaan standard ini, versi bahasa Inggeris adalah dirujuk
PUBLIC COMMENT – REAKSI
Usaha dan inisiatif Jawatankuasa Teknikal bagi Makanan Halal dan Barang Gunaan Islam (sebelum ini dikenali Jawatankuasa Teknikal bagi Makanan Halal sahaja) wajar dipuji memandangkan ianya menunjukkan komitmen Kerajaan melalui Jawatankuasa ini untuk menambahbaik standard ini agar terus berkualiti dan relevan dengan peredaran masa. Dengan dibarisi oleh muka lama (yang terlibat dengan MS1500:2004) dan muka baru dalam jawatankuasa ini, ianya mampu menjadi sinergi untuk memastikan standard ini terus menjadi antara rujukan utama para pengusaha dan peniaga yang terlibat langsung dalam industri makanan Halal seantero dunia.
Menyedari tanggungjawab untuk sama-sama menambahbaik serba sedikit nilai MS1500:2009 ini, Jawatankuasa Pemantauan Halal dari satu syarikat pengusaha Bumiputera makanan Halal yang beroperasi di Selangor telah mengesyorkan agar perkara-perkara berikut diambil kira :
1. Ketidakselarasan atau bercanggah dengan Keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan.
1.1 Klausa 3.5.1.1.1 (h) haiwan Halal yang dipelihara dan diberi makan najis dengan sengaja dan berterusan.
Ulasan:
Keputusan Jawatankuasa Muzakrah Majlis Fatwa ke 2 12/5/1981 perkara (ii) menyatakan Bahawa makanan ayam yang diproses bahan-bahan bercampur dengan najis seperti darah lembu, darah babi dan lain-lain adalah harus atau halal.
Terdapat makanan ayam menggunakan meat and bone meals, blood meal dan atau calcium berasal haiwan di gunakan di dalam ransum makanan dalam kadar yang sedikit berbanding dengan kadar kacang soya dan jagung yang tinggi. Dengan memasukkan perkara ini sebagai syarat pengeluar daging ayam akan memerlukan sijil Halal dari ladang ayam yang begitu banyak bilangan. Ini adalah tidak praktikal serta membazir waktu dan tenaga.
1.2 Lampiran A Jadual A1. dicadang untuk dikeluarkan dari standard oleh kerana:
a) Tidak selaras dan ada yang bercanggah dengan perkara ii(b) Keputusan Fatwa Muzakarah J/k Fatwa Kebangsaan 29 September 2005
b) Tidak dinyatakan kekuatan voltan yang dipakai. Perlu lebih banyak data dari penyelidikan penggunaan kejutan elektrik untuk haiwan ternakan tempatan sebelum parameter terdapat dalam jadual boleh dan selamat dipakai.
1.3 Lampiran A, perkara A3 : Penggunaan Pneumatic percussive stunnner telah dibenarkan oleh Muzakarah khas majlis Fatwa 13 Mac 2006. Dalam Fatwa ini tidak menyatakan tekanan udara maksimum 225 psi seperti dalam standard.
Muzakarah Khas Jawatankuasa Majlis Fatwa bertarikh 29 September 2005 mengharamkan pengunaan penetrative dan non-penetrative captive bolt (mushroom head)(keputusan (i)). Manakala keputusan (ii) pula hanya kaedah kejutan elektrik sahaja dibenarkan.
Penetrative dan non-penetrative captive bolt dan pneumatic percussive stunner adalah adalah merupakan jenis ketukan atau percussion stunner. Dari pengalaman kami semua stunner jenis ketukan ini boleh menyebabkan kematian haiwan jika kuasanya tidak dikawal. Beza antara captive bolt dan pneumatic adalah kuasa yang diguna untuk menolak piston/plunger keluar dari barrel alat tersebut. Captive bolt menggunakan catridge (selonsong) daya tolakan adalah dari letupan. Terdapat beberapa jenis catridge mengikut kekuatan daya tolakan dan ditanda merah, kuning, coklat, dan hijau. Penggunaan captive bolt pernah dibenarkan oleh Majlis Fatwa dengan syarat sama seperti pneumatic diantaranya adalah dengan menggunakan mushroom head. Pneumatic stunner menggunakan tekanan udara untuk menolak piston. Kekuatan tekanan udara tersebut boleh dikawal.
Adalah dicadangkan supaya penggunaan stunning jenis percussion ini di semak semula dengan teliti dan komprehensif oleh J/k teknikal dan di kemukakan semula kepada Majlis Fatwa Kebangsaan supaya kekeliruan dapat diatasi sebelum di masukan ke dalam standard.
1.4 Mechanical slaughter.
Kaedah penyembelihan diatas telah dikeluarkan dari draf sedangkan kaedah penyembelihan telah diputuskan harus oleh Muzakarah J/k Fatwa kali ke 48, 3 April 2000. Dengan mengeluarkan dari draf akan memberi interpretasi seolah-olah kaedah mekanikal ini tidak lagi dibenarkan atau diragukan.
Untuk pengetahuan J/k Teknikal, kaedah penyebelihan ini diguna oleh rumah sembelih ayam di luar negara yang telah diluluskan untuk tujuan import oleh kerajaan Malaysia. Contohnya beberapa rumah sembelih ayam di Denmark telah diluluskan untuk produk Mechanised Deboned Meat (MDM) untuk tujuan import. Denmark adalah satu-satunya sumber MDM untuk pemerosesan sausage/frankfurter. Hampir semua syarikat pemerosesan Frankfurter di Malaysia memporoleh bahan mentah dari Denmark.
2. Keperluan ( Perkara 3)
Klausa 3 Keperluan hendaklah difokuskan dan dikhaskan untuk isu-isu syariah sahaja dan perkara yang tidak berkaitan dengan syariah seperti GMP, hygiene dan sistem kualiti (3.1-3.4,3.6 dan 3.7) dikeluarkan dari perkara 3. Isu-isu GMP dan sebagainya telah pun mempunyai peraturan serta perundangan dan di kuatkuasakan oleh jabatan atau agensi Kerajaan yang lebih kompeten yang ttidak dimasukkan kapada standard. Cukup dengan diberi rujukan sahaja. Kekeliruan dan isu timbul apabila badan pensijilan Halal mula menggunakan isu-isu GMP, hygiene untuk tidak mengeluarkan logo atau sijil halal sedangkan loji pemprosesan adalah di dalam pengawasan jabatan atau agensi Kerajaan.
3. Standard halal hendaklah menumpukan perkara syariah sahaja. Adalah didapati standard halal berkaitan syariah tidak diberi tumpuan sepenuhnya. Berikut adalah perkara/isu syariah yang perlu diambil tindakan;
3.1 Prosedur penyucian najis mughallazah. Prosedur ini perlu diteliti supaya ianya lebih jelas, sesuai dan praktikal bagi tujuan pembersihan alat atau bangunan supaya lebih berguna sebagai panduan oleh pihak industri. Juga mengambilkira pandangan yang lebih menyeluruh bagi kaedah pencucian seperti penggunaan bahan-bahan alternatif selain daripada tanah contohnya air panas, minyak panas atau api
3.2. Panduan bagi penyucian najis muttawasitah hendaklah disediakan. Panduan tersebut lebih berguna dan lebih relevan. Misalnya di rumah penyembelihan, semasa proses penyembelihan, najis seperti darah dan isi perut (stomach/intestine content) sering mencemari daging terutama semasa proses mengeluarkan perut dan usus (eviceration). Penyucian najis muttawasitah lebih kerap dan banyak dilaksanakan dari samak.
3.3 Klausa 3.2.8 Jarak antara premis dan ladang babi diyatakan dengan jelas contohnya 200 meter atau 1 km atau mengikut kriteria kehendaki oleh syariah
3.4. Klausa 3.2.9 ditambah satu ayat lagi berbunyi ‘ Jika sekiranya premis yang digunakan tidak dikhususkan sembelihan Halal sahaja, penyembelihan Halal secara berkala (time/product dedicated) dibenarkan tetapi hendaklah dikawal oleh Badan Islam yang diiktiraf oleh Pihak berkuasa Agama Islam Malaysia’.
3.5 Klausa 3.2.10 dikeluarkan dari standard atau sebagai alternatif ditambah satu ayat lagi berbunyi “ penyediaan karkas boleh dibuat di premis lain dengan syarat premis tersebut di kawalselia oleh Pihak berkuasa Agama Islam atau badan seumpamanya yang diiktiraf.
3.6. Klausa 3.5 : Sumber makanan dan minuman halal.
Klausa 3.5.1.1 Haiwan darat . Senarai a) hingga i) di keluarkan dan diganti dengan senarai haiwan Halal sahaja yang lazim dijadikan makanan manusia.
Klausa 3.5.2 (f) Perkataan (Basmallah) diganti dengan perkataan (Tasmiah)
4. Definisi
Klausa 2.1.1 Hukum Syarak definasi dipermudah supaya difahami semua dan tidak mendatangkan kekeliruan termasuk bukan Muslim.
Klausa 2.3(e) tidak mengandungi mana-mana bahagian atau anggota manusia. Perkataan lain didalam ayat di mansuhkan.
5. Klausa 4 Pematuhan : Ayat kedua di mansuhkan
6. Klausa 5 Sijil Halal. Ayat ini tidak memberi apa-apa makna dan dimansuhkan
7.
Klausa 6 tidak dapat dikuatkuasakan dan bukan sebahagian dari standard dan hendaklah dimansuhkan
Memandangkan kepada perkara yang dibangkitkan adalah adalah perkara dasar berkaitan dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dan untuk mengelakkan kekeliruan adalah dicadangkan draf semakan kedua ini disemak secara kritikal oleh individul yang arif di dalam syariah dan pakar teknikal yang berkaitan. Beberapa isu perlu diselesaikan terlebih dahulu dengan Majlis Fatwa supaya standard ini selari dan tidak bercanggah dengan Keputusan Fatwa.
KESIMPULAN

Dengan terbitnya MS1500:2009, ianya diharapkan akan mampu memacu industri makanan Halal tempatan untuk terus bersaing di persada di antarabangsa. Tiada gunanya andai kita mendabik dada mengatakan kitalah juara Halal yang terbaik namun hakikatnya negara lain terus maju ke hadapan meninggalkan kita dalam industri ini. Buat saudara-saudara seIslamku, betulkan niat untuk mencapai mardhatillah, perjuangan kita dalam industri Halal di dunia hari ini adalah untuk menyemai hasilnya di akhirat kelak. Industri yang menyediakan pulangan pendapatan beratus-ratus billion ini, sudah pasti tidak mampu menyaingi ganjaran dan pulangan yang disediakan oleh Allah S.W.T di sana nanti.