Pages

Topik pilihan/Selected topics

6461 (9) JAKIM (12) daging (16) fatwa (3) kembara (12) koleksi (7) pensijilan (16) renungan (9) seminar (8)

Saturday, September 18, 2010

Siirul Fil Ardh Fanzuru : Kembara Raya 2010 Siri 3

(sambungan dari Siri 2)

TEMPAT NAIK, NABI NUH A.S., JIN, ORANG YANG BERKEMUL DAN BERSELIMUT

Jam menunjukkan hampir pukul 4.00 petang. Bas baru sahaja tiba di Felda Chegar Perah. Trafik kali ini agak lancer dengan kelajuan 80- 90 km/j. Kali ni bas tidak berhenti di tempat hentian biasa dan berhenti agak ke depan di stesyen minyak Caltex Merapoh. Isi minyak agaknya. Ambo ambil kesempatan ini untuk ke ‘kamar kecil’ (restroom) untuk sedikit hajat bersama penumpang-penumpang yang lain. Ada juga yang mengambil sedkit makanan dan mimunan sebagai bekalan persiapan untuk berbuka. Alhamdulillah, ambo telah bersedia lebih awal dengan beberapa biji kurma dan sebotol air mineral 500ml.

Alhamdulillah, ambo juga mengambil kesempatan tadi untuk mengambil wudhu. Sekurang-kurangnya dapat meneruskan bacaan al Quran dalam bulan ‘pesta’ ibadah ini. Dengan al Quran terjemahan yang dibawa bersama, dengan izin Allah, ambo berjaya menghabiskan baki surah 70 dan menyempurnakan surah 71 hingga 74.

Al Ma’arij ~ terdiri 44 ayat (Makkiyyah), kata jamak dari mi’raj, maksud dari segi bahasa ialah tempat naik, lain-lain tafsiran ialah langit, nikmat kurniaan dan darjat atau tingkatan yang diberikan Allah S.W.T. kepada ahli syurga. Antara isi kandungannya ialah berkenaan perintah bersabar kepada Rasulullah S.A.W. dalam menghadapi ejekan dan keingkaran orang-orang kafir, kejadian pada hari kiamat, azab Allah tidak boleh dihindarkan dengan tebusan, sifat manusia yang mendorong ke api neraka, amal perbuatan yang membawa manusia ke martabat tinggi dan peringatan Allah akan menggantikan kaum yang derhaka dengan kaum yang lebih baik

Nuh ~ terdiri 28 ayat (Makkiyyah), merujuk kepada perjuangan dakwah dan doa Nabi Nuh A.S. Antara isi kandungannya ialah berkenaan ajakan Nabi Nuh A.S kepada kaumnya untuk beriman kepada Allah S.W.T. serta bertaubat kepadaNya, perintah memerhatikan kejadian alam semesta dan kejadian manusia, seksaan Allah di dunia dan akhirat bagi kaum yang kafir dan doa Nabi Nuh A.S.

Jin ~ terdiri 28 ayat (Makkiyyah), merujuk kepada kisah Jin yang mendengar pembacaan al Quran dan mengikut ajaran al Quran tersebut. Antara isi kandungannya ialah berkenaan pengetahuan tentang jin diperolehi oleh Rasulullah s.A.W. adalah dengan jalan wahyu, penyataan iman segolongan jin kepada Allah, terdapat jin yang beriman dan kafir, janji Allah untuk melimpahkan rezekiNya bagi manusia dan jin yang mengikuti jalan yang lurus, janji perlindungan Allah terhadap Rasulullah S.A.W. dan wahyu yang dibawanya.

Al Muzzammil ~ terdiri 20 ayat (Makkiyyah), bermakna orang yang berselimut, merujuk kepada seruan Nabi Muhammad S.A.W (dalam konteks semasa, kepada umat Nabi Muhammad S.A.W). Antara isi kandungannya ialah berkenaan petunjuk-petunjuk yang harus dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. untuk menguatkan rohani dalam persiapan menerima wahyu iatu dengan bangun malam bertahajud, membaca al Quran dengan tartil, bertasbih dan bertahmid, perintah bersabar dengan celaan orang-orang yang mendustakan Rasul, perintah kepada umat Islam untuk bertahajud, berjihad di jalan Allah, membac al Quran, mendirikan solat, menunaikan zakat, membelanjakan harta di jalan Allah dan memohon ampunan Allah S.W.T.

Al Muddasir ~ terdiri 56 ayat (Makkiyyah), bermakna orang yang berkemul (berselimut), juga merujuk kepada seruan Nabi Muhammad S.A.W (dalam konteks semasa, kepada umat Nabi Muhammad S.A.W). Antara isi kandungannya ialah berkenaan perintah untuk mulai berdakwah mengagungkan Allah, membersikan pakaian, menjauhi maksiat, memberika sesuatu dengan ikhlas dan bersabar menjalan kan perintah dan menjauhi larangan Allah, azab dari Allah untuk penentang Rasulullah S.A.W. dan pendusta al Quran dan setiap manusia terikat dengan apa yang diusahakan mereka.

Tidak jauh dari tempat Rehat dan Rawat Gua Musang, bas berhenti di sebuah surau untuk memberi laluan kepada penumpangnya menyempurnakan solat. Ambo mengambil kesempatan ini untuk solat jamak Takhir berjemaah bersama beberapa penumpang yang lain.




MUTIARA KATA SEORANG PEMIMPIN UMAT
Berikut dikongsikan beberapa mutiara kata dari Ketua Kerajaan negeri tumpah darahku yang amat disayangi oleh rakyatnya yang mana ambo petik daripada buku terbaru hasil karya Setiausaha Akhabr beliau, yang sama nama dengan ambo melalui “110 Mutiara Kata Nik Abdul Aziz Nik Mat sepanjang 2010” yang baru dilancarkan awal Ramadhan tahun ini dan berjaya ambo khatamkan dalam perjalanan ini, yang pada pandangan ambo relevan dengan suasana balik raya ini :

“Jika memandu kereta perlukan lesen, menggunakan senjata api perlukan lesen, maka hidup di dunia juga perlukan lesen. Lesen itu ialah Islam. Hidup di dunia dengan menolak Islam ialah umpama hidup tanpa lesen..” (tazkirah ringkas di Pejabat MB, 25 Mei 2010)

“Bila kita berugama, dengan sendiri kita akan rasa bahawa di sisi kita ada malaikat yang memerhati, ada Allah SWT yang sedang memantau. Keyakinan ini merupakan satu brek untuk kita dari terus melakukan dosa. Tanpa adanya yakin seperti ini, manusia akan hilang brek. Kalau kereta hilang brek, ia akan terjun gaung. Tapi kalau manusia hilang brek, dia akan terjun neraka..” (Sidang media selepas Mesyuarat Exco pada 30 Jun 2010)

“Seorang pemandu kereta belum tentu membawa kita ke destinasi yang betul. Walaupun dia tahu cara memandu, hidupkan enjin, masuk gear dan sebagainya, tetapi jika tidak tahu jalan yang betul, akan tetap tersesat. Demikian juga seorang pembaca al Quran, tajwidnya betul, suaranya baik, makhrajnya tepat jika tidak diamalkan, ia tidak akan menunjuk jalan yang betul iaitu ke syurga..”(Kuliah di Medan Ilmu, Kota Bharu pada 18 Jun 2010)

“Bila tiba cuti sekolah, anak-anak berduyun-duyun balik kampung, Alhamdulillah. TApi sedarkah kita, bila tiba kita di akhirat kelak, tidak ada lagi balik kampung. Orang Kelantan tidak boleh balik Kelantan, orang Terengganu tidak boleh balik Terengganu. Semuanya kekal di akhirat sahaja tanpa dapat balik semula. Beringat-ingatlah sebelum tiba masanya kita tidak dibenarkan lagi balik ke kampung lagi..” (Khutbah Jumaat di Masjid Kota Kubang Labu, Wakaf Bharu pada 4 Jun 2010)


BERHATI-HATI DI JALAN RAYA, KEGEMBIRAAN ORANG BERPUASA, MELAYU
Tayar bas terus bergolek, melepasi Lakloh dan jam menunjukkan hampir pukul 7.00 petang. Nampak gaya, memang sah ambo akan berbuka dalam bas. Baru sahaja tadi melepasi satu lagi lokasi kemalangan. Ambo kira tidak kurang tiga kemalangan sepanjang perjalanan ambo dari Bentong hinggalah menghampiri Kuala Krai, seperti mana tahun-tahun sebelum ini. Walaupun operasi demi operasi dan kempen keselematan jalan raya dilancarkan untuk mengurangkan kemalangan dijalankan saban tahun, statistik kemalangan masih berlaku dan ada sahaja laporan hari demi hari. Pada pandangan ambo, sikap terburu-buru, tidak sabar dan tidak bertolak ansur adalah antara punca kemalangan ini, manakan tidak andai sanggup memotong di “double line” sehingga kadang-kadang orang yang memotong “double line” ini pun masih dipotong. Maklumat lanjut untuk ops sikap boleh dirujuk di sini. Pandu cermat, jiwa selamat. Berhati-hati di jalan raya. Ingatlah yang tersayang.

Tepat jam 7.17 petang, telah masuk waktu Maghrib bagi zon 1 negeri Kelantan sebelum sempat tiba di simpang tiga Guchil, Kuala Krai. Ambo berbuka dengan bekal beberapa biji kurma dan air mineral yang dibawa. Bas berhenti agak depan sedikit di sebuah restoran di Batu Jong, namun makanannya telah habis, mungkin ramai yang singgah di restoran ini untuk berbuka tadi. Sambil menunggu pemandu bas menikmati juadah berbuka mereka, ambo albil kesempatan menyelak dan membaca buku “Kepimpinan Masa Depan : Berakhirkah dilemma Melayu” terbitan Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd cetakan pertama 1987 yang dikarang oleh Ahmad Atory Hussain (di Jabatan Sains Politik UKM pada tahun itu). Tidak banyak perbincangan ilmiah yang dikupas dan bincangkan melalui karya ini, melainkan kebanyakannya lebih bersifat perkauman Melayu dan juga ketaksuban kepada pemimpin tertentu. Jika tidak silap pada perkiraan ambo, buku ini dikarang sebelum parti UMNO diharamkan dan lahirnya parti kaum Melayu yang baru iaitu UMNO Baru dengan Tun Dr Mahathir Muhammad sebagai Presidennya yang pertama (Namun begitu roh semangat UMNO yang haram itu masih diteruskan oleh parti Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh).

Antara persoalan yang dibincangkan termasuklah dilemma politik Melayu, kedatangan orang Cina dan india sebagai bala, arah tuju dan cabaran orang Melayu, masalah Melayu Pulau Pinang, kerugian dan kelemahan orang Melayu, asas nasionalisme Melayu, kebimbangan kaum bukan Melayu dan aliran pendapat masa kini mereka, pendekatan membendung perkauman, corak kepimpinan masa depan dan siapa pemimpin masa depan. Juga yang menarik perhatian ambo berkenaan isu perbalahan UMNO-PAS yang turut didendangkan dan masih dilagukan sehingga ke hari ini. Berkenaan isu ini, pakat renung-renungkanlah petikan berikut sama ada buku ini hasil kerja seorang sarjana, pengunjung kedai kopi atau pelajar sekolah rendah :

Pemahaman kebiasaan graduan BTN & benarkah 100% Melayu itu Islam? ~ “..Dalam kafir-mengkafir menajdi-jadi hingga hendak berdebat (tapi tidak jadi), Sabah telah dikuasai oleh orang-orang bukan Islam. Lepas itu nampak reda sedikit. Orang PAS mengatakan UMNO berfahaman asabiah dan kebangsaan, atau nasionalisme yang diamalkan oleh UMNO adalah tidak Islam. Pada saya, orang PAS sendiri tidak faham dengan konsep asabiah dan nasionalisme Melayu. Sebenarnya, dalam konteks orang Melayu, Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu. Tidak ada dalam dunia ini yang penduduknya seratus peratus (100%) Islam melainkan orang Melayu sahaja…”

Masih tidak sedar Malaysia adalah negara berbagai Bangsa, tidak mustahilkah bangsa lain yang beragama Islam lebih ramai dari Melayu suatu hari nanti ? ~ “..Kita bolah juga sebut Dasar Ekonomi Baru itu untuk membantu orang Islam – bermakna juga orang Melayu. Siapa lagi orang Islam di Negara ini kalau tidak orang Melayu?(Orang dari bangsa lain tidak banyak!)..”

Adakah Mahasiswa dididik untuk dikongkong pemikiran dan idea mereka sehingga jadi pak turut? ~ “..Pening juga kita memikirkan, kenapa hal ini berlaku, padahal universiti-universiti di Negara ini adalah ditubuhkan oleh kerajaan. Sepatutnya mahasiswanya mestilah prokerajaan…”

Suatu sangkaan yang buruk dan tuduhan yang belum dibuktikan, hidayah untuk menerima Islam adalah ketentuan Allah ~ “..Pada pandangan bukan Islam, saya kira, mereka tetap mengatakan dasar-dasar Islam (yang kita kata adil) itu sebagai tidak adil! Bolehkah PAS memberi jaminan bahawa sekalipun ia menjalankan segala-galanya berunsur Islam tulen kalau ia memerintah nanti, orang bukan Islam akan menagkui bahawa dasar-dasar Islam itu adil?.... Sebagai seorang Islam, saya sangat ragu-ragu kepada orang bukan Islam. Sekalipun dilihat dari lahiriah mereka mengakui keadilan dan kebaikan orang kita (Islam) tetapi di hati kecil meraka, siapa yang tahu? “

Banyak lagi point-point yang diketengahkan dalam buku ini yang masih boleh dipersoalkan, namun cukuplah sekadar itu untuk coretan ini bagi renungan kita bersama. Adakah UMNO Baru yang diperjuangkan hari ini masih meneruskan legasi UMNO yang dahulu atau menanti masa untuk dikuburkan dan ditalkinkan atas kesedaran generasi hari ini yang inginkan Malaysia yang lebih baik, berkebajikan dan adil untuk semua selaras dengan tuntutan syarak.

Petikan terakhir sebagai renungan :
“Semasa saya menulis warkah ini, orang-orang Melayu dan UMNO amnya sedang sibuk memilih pemimpin-pemimpin mereka di semua peringkat parti;……Apa yang lebih menarik lagi, ada sebuah cawangan yang membuat usul tidak percaya pada Presiden Parti (Perdana Menteri). Rasa saya, usul tidak percaya dari sebuah cawangan yang meminta Perdana Menteri meletakkan jawatan itu merupakan satu peristiwa yang belum pernah terjadi sejak dulu hingga sekarang….UMNO sudah mula mengutamakan prinsip-prinsip ganjaran (reward – atau rasuah?) kepada mereka yang berkedudukan. Perjuangan-perjuangan UMNO yang dulu begitu hangat seperti Bahasa Kebangsaan, hak-hak istimewa Melayu dan kemiskinan orang melayu seolah-olah sudah tidak ada lagi….Di dalam UMNO sekarang, berlaku politik puak (faction). Puak yang kaya akan mengatasi puak yang kurang kaya…..Untuk naik ke atas dan mengekalkan kedudukan, semuanya dijalankan melalui isu-isu perkauman atas nama menjaga kepentingan dan melindungi hak-hak Melayu, tetapi hasilnya tidak memberi apa-apa makna..”

Mungkin PERKASA ada sedikit jawapan untuk di atas. Namun, Islam adalah tetap pilihan ambo baik untuk PRU yang mendatang ini ataupun seluruh hidup ambo.

PENUTUP
Alhamdulillah, hampir jam 10.00 malam, ambo tiba di Nilam Puri dan berhenti solat di Masjid Mukim Kedai Mulong. Setelah selesai solat Ta’khir dan solat sunat Terawih (Alhamdulillah, sempat 6 rakaat), kelihatan kelibat adik-adik iparku telah sampai dan menunggu di luar masjid. Syukur Ya Allah, Engkau sampaikan daku di negeri yang bertuah dan barakah ini dengan selamat dan moga-moga kepulanganku menjadi asbab kegembiraan dan bertambah iman mereka bagi insan-insan yang aku sayangi dan cintai.

“Ya Allah, Ta tuhanku, tempatkanlah aku di sebaik-baik tempat yang penuh barakah. Dan Engkau sebaik-baik pemberi tempat”

SELAMAT HARI RAYA EIDIL FITRI. MAAF ZAHIR BATIN. MINAL AIDIL WAL FAIIZIN. TAQABBALLAHU MINNA MINKUM AMALAN SOLIHAN, TAQABBAL YA KAREEM.

No comments:

kit pengesan daging babi (dalam makanan)