Pages

Topik pilihan/Selected topics

6461 (9) JAKIM (12) daging (16) fatwa (3) kembara (12) koleksi (7) pensijilan (16) renungan (9) seminar (8)

Monday, February 16, 2009

Eksport makanan laut ke Eropah : Sinar dalam kabus

Alhamdulillah, setelah sekian lama 'bertapa", dengan izin Allah, dikurniakanNya ilham untuk ula mencoret semula dalam blog ini. InsyaAllah, moga-moga maklumat yang disajikan ini dapat sama-sama memberi manfaat kepada semua terutama buat para penguasa, pengusaha dan peminat makanan laut.





Seawal 12 Jun 2008, terpampang di dada-dada akhbar tempatan bahawa pihak Suruhanjaya Eropah melalui pihak berkuasa pejabat Makanan dan Haiwan (FVO) “bercadang” untuk melarang kemasukan produk makanan laut dan ikan dari Malaysia berikutan kegagalan pengusaha tempatan memenuhi piawaian Kesatuan Eropah (EU). Maka timbullah inisiatif daripada pihak Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan untuk membantu industri dengan meminta Kesatuan Eropah agar mempertimbangkan semula cadangannya untuk melarang kemasukan produk makanan laut dan ikan dari negara ini ke negara Kesatuan Eropah. Menurut Menteri Kesihatan, larangan tersebut boleh memberi implikasi yang negatif kepada industri pengeksportan makanan laut beku negara kerana membawa kerugian kepada negara kira-kira RM1.5 bilion setahun.



SENARIO SEMASA
Persoalan yang timbul ialah, apakah sebenarnya sejarah peristiwa yang telah membawa kepada “cadangan” larangan eksport produk ini? Bagaimana pula reaksi pihak Industri dan nelayan menyedari periuk nasi mereka selama ini terancam dek kerana dikatakan gagal memenuhi beberapa syarat kebersihan yang ditetapkan oleh pejabat Makanan dan Haiwan Kesatuan Eropah? Apakah pula tindakan segera yang dilakukan oleh pihak Kerajaan dalam usaha memastikan industri yang menjadi lubuk emas negara dan bernilai berbilion ini dapat kembali diselamatkan dan memberi semula sinar harapan kepada kesemua pengusaha dalam rantaian pengeluaran makanan laut termasuk pengusaha kolam ternakan, kapal perikanan dan juga para nelayan? Dalam menghuraikan persoalan ini, penulis menjadikan berita-berita yang dipaparkan antara 12 Jun 2008 sehingga 12 Januari 2009 sebagai rujukan utama perbincangan ini.

Kunjungan pegawai Makanan dan Haiwan Kesatuan Eropah ke Malaysia yang telah membawa kepada “cadangan” larangan eksport produk makanan laut baru-baru bukanlah kunjungan yang kali pertama ke Malaysia. Dilaporkan bahawa lawatan kunjungan telah pun dilakukan oleh pegawai pegawai dari pejabat ini pada tahun 2005 sebelum kunjungan susulan pada April 2007. Pada hakikatnya, pihak berkuasa EU telah memberi ruang waktu kepada pengusaha tempatan memperbaiki dan meningkatkan piawaian kebersihan namun hal tersebut kurang diberi perhatian yang serius sehinggalah pihak berkuasa Kesatuan Eropah bercadang untuk mengenakan tindakan larangan eksport ke atas produk pengusaha tempatan. Larangan ini langsung dikaitkan dengan tahap kepekaan pengusaha tempatan mengenai kebersihan dan keselamatan dalam industri makanan laut yang dikatakan masih rendah. Pihak berkuasa Kesatuan Eropah telah mendapati keadaan tidak memuaskan di ladang akuakultur, fasiliti memproses makanan laut, bot nelayan dan kawasan pendaratan ikan. Sebagai contoh, kapal kontena dan lori pengangkutan yang digunakan mestilah dilengkapi dengan peti sejuk beku. Selain itu, ais yang digunakan mestilah berkualiti dan bukannya menggunakan air biasa untuk menyimpan ikan-ikan yang akan dieksport. Dari perspektif yang lebih luas, masyarakat kita pada umumnya dilaporkan tidak mengambil berat tentang kebersihan dan keselamatan makanan.



REAKSI PENGUSAHA
Melalui maklumat yang dipaparkan, eksport makanan laut sejuk beku ke negara Kesatuan Eropah secara khusus menyumbang kira-kira 60 hingga 70 peratus daripada keseluruhan eksport makanan laut sejuk beku negara. Pasaran utama di Kesatuan Eropah termasuklah negara Itali, United Kingdom, Perancis, Sepanyol dan Belgium. Industri ini merupakan mata pencarian bagi kira-kira 8,000 hingga 10,000 pekerja. Berikutan tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa itu, pengusaha industri makanan laut beku Malaysia merayu pihak berkuasa Kesatuan Eropah agar tidak mengharamkan eksport dari Malaysia yang bernilai berbilion dolar itu dengan serta merta. Pengerusi Pertubuhan Pemproses Makanan Sejuk Beku berkata bahawa tindakan larangan itu boleh menjejaskan pasaran eksport Malaysia berikutan Eropah merupakan salah satu pasaran utama industri. Sekiranya tindakan yang diambil seumpama ini pasti akan menyebabkan ramai pengusaha akan gulung tikar dan industri sejuk beku makanan laut akan terjejas teruk.

Kesemua 46 pengeksport makanan laut ke negara anggota Kesatuan Eropah bersetuju menghentikan eksportnya buat sementara waktu bagi menggelakkan pengharaman EU terhadap semua hasil laut dari negara ini. Tindakan yang diambil ini membolehkan pengeluar makanan laut menaik taraf kemudahan sedia ada bagi memenuhi syarat dan piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Kesatuan Eropah. Terdapat juga pengusaha yang mengambil inisiatif dengan meterai perjanjian tiga pihak iaitu antara Malaysian International Tuna Port (MITP) dengan dua pihak berkuasa dalam industri perikanan Sepanyol, Persatuan Pengetin Makanan Laut dan Ikan Kebangsaan Sepanyol (ANFACO) dan Pusat Teknikal Pemeliharaan Produk Ikan Sepanyol (CECOPESCA). Di Portugal, MITP telah menandatangani perjanjian dengan Agensi Pelaburan Asing Azores (APIA) dan COFACO iaitu Kumpulan Pengetin Terbesar Makanan Laut di Portugal. Usaha MITP mengadakan perjanjian dengan pihak bertanggungjawab dalam industri makanan laut di Sepanyol dan Portugal dilihat sebagai mewakili lain-lain pengeksport di Malaysia secara tidak langsung memberi indikasi larangan eksport makanan laut dari Malaysia ke negara Kesatuan Eropah yang dikenakan bakal berakhir.




LANGKAH SEGERA KERAJAAN
Pihak Kerajaan telah mengambil langkap proaktif dalam usaha memastikan keberjayaan eksport semula produk makanan laut dan ikan ke negara Kesatuan Eropah. Bagi memastikan pengusaha memenuhi syarat dan piawaian yang ditetapkan untuk eksport ke negara Kesatuan Eropah dapat disambung semula, pihak Kerajaan akan berusaha bersungguh-sungguh bersama pengeluar dan memberi perhatian yang serius kepada permasalahan ini. Berikutan hasil pemeriksaan yang tidak memuaskan hati pihak berkuasa Kesatuan Eropah, maka sepasukan delegasi dari kerajaan Malaysia telah dihantar untuk berunding dengan pegawai Kesatuan Eropah di Brussel pada Jun lepas namun tiada apa-apa hasil yang diperolehi. Selain itu, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah memberi tempoh enam minggu kepada semua pengusaha dalam rantaian pengeluaran makanan laut termasuk pengusaha kolam ternakan dan kapal perikanan untuk memenuhi syarat yang ditetapkan Kesatuan Eropah. Dilaporkan bahawa selepas tempoh ini, pegawai Kesatuan Eropah akan menjalankan pemeriksaan semula ke atas kilang dan rantaian pengeluaran makanan laut di negera ini. Seluruh proses ini dijangka memakan masa selama tiga bulan dan premis yang memenuhi syarat dikatakan akan dibenarkan menyambung operasi eksport ke Eropah.

Pihak Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga telah mengambil langkah mengadakan sesi dialog dengan pengeluar makanan laut berkenaan serta bersedia memberikan bantuan kepada mereka. Semua pengusaha telah diminta untuk menyenaraikan bantuan yang diperlukan dan perkara tersebut dibawa dan dibincangkan di Kabinet. Isu ini juga telah menjadi salah satu topik perbahasan dalam sidang Dewan Rakyat dan pihak kerajaan telah memberi komitmen untuk membantu sedaya upaya untuk membantu industri tersebut, memastikan semua produk terjamin dan bersih bermula daripada asas pembuatan hingga ke proses terakhirnya dan memastikan semua prosedur yang dilaksanakan memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Kesatuan Eropah. Kertas Kabinet telah dibentangkan bagi memastikan usaha ini tidak hanya terletak pada sudut industri tetapi juga pihak Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Apabila pihak Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa pihaknya telah meminta Kesatuan Eropah menghantar pegawai-pegawainya ke Malaysia untuk memeriksa industri makanan sejuk beku tempatan dan dikatakan akan berada di Malaysia antara 2 hingga 13 Mac bagi tujuan tersebut, sudah pasti ianya adalah berita baik buat seluruh pengusaha yang terlibat dalam industri makanan laut ini. Menerusi kerjasama kementerian berkenaan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Malaysia dijangka akan membekal semula makanan sejuk beku ke negara Kesatuan Eropah. Namun, sejauh manakah kesahihannya bahawa pegawai Makanan dan Haiwan Kesatuan Eropah akan kembali ke Malaysia pada Mac yang bakal menjelang tidak lama lagi? Apakah asas yang dijadikan rujukan memastikan mereka akan berada di Malaysia pada tarikh tersebut?

Persoalan ini akan kembali kepada Program Audit dan Pemeriksaan Tahunan yang dikeluarkan oleh Pejabat Makanan dan Haiwan (FVO) Kesatuan Eropah melalui lawan sesawang rasmi mereka. Program ini menyenaraikan negara yang akan dilawati oleh pejabat tersebut dan produk-produk yang akan diperiksa telah dikenalpasti bagi tahun tersebut. Apabila dirujuk program ini bagi tahun 2005 dan 2007, sememangnya Malaysia tersenarai untuk pemeriksaan produk makanan laut dan ikan. Akan tetapi, Malaysia tidak pula tersenarai di dalam Program Audit dan Pemeriksaan FVO bagi Tahun 2009? Namun, harapan sentiasa ada buat pengeksport makanan laut ke negara Kesatuan Eropah kerana Kementerian Kesihatan tetap yakin pihak berkuasa akan berada di Malaysia pada Mac ini. Masih ada sinar dalam kabus.

Allah Subhanahu Wa Taala jualah sebaik-baik Maha Perancang.

kit pengesan daging babi (dalam makanan)